Wednesday, 30 April 2014

PEMILIHAN BAHAN BACAAN



Setiap peringkat umur mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza yang merangkumi kelakuan, kebolehan dan keupayaan serta minat membaca. Oleh itu, bahan bagi bacaan perlu disediakan dengan menggunakan bahasa yang bersifat formal, dengan menitikberatkan penggunaan tatabahasa, struktur ayat yang lengkap, perbendaharaan kata terpilih yang sesuai dengan jangkaan pembaca serta mempunyai daya penarik supaya terus dibaca (Yahya Othman, 2004 : 98).

KANAK-KANAK DAN PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Kanak-kanak juga mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza yang memerlukan persembahan dan penyampaian yang sesuai dalam sesebuah bahan bacaan. Kanak-kanak telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan umur seperti berikut:

1. Umur 0-6 tahun (peringkat prasekolah)
Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana. Setiap buku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya.

2. Umur 6-8 tahun
Kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibicarakan oleh orang dewasa. Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk membaca jika:
·         Tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas.
·         Meluangkan masa “membaca” buku-buku bergambarnya.
·         Suka mendengar cerita.
·         Berminat dalam perkataan-perkataan dan leka untuk meningkatkan tatabahasanya.
·         Berpura-pura menulis dan membaca—cuba untuk menyalin huruf-huruf dan nombor.
Pada peringkat ini, mereka mungkin sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga masih sesuai untuk mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi gambaran kepada teks. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan binatang dan alam semula jadi.

3. Umur 8-10 tahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk mereka.

4. Umur 10-12 tahun
Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu.  Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik minat mereka.

Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan, cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan teknikal. Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi persembahan dan bentuk bahannya.

PRINSIP PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Terdapat beberapa garis panduan pemilihan bahan pengajaran, dan prinsip-prinsip pemilihan bahan pengajaran bahasa dirumuskan seperti yang berikut.

1. Sesuai
Perkataan sesuai itu sendiri membawa maksud bertepatan, di mana konsep sesuatu mata pelajaran boleh diikuti oleh pelajar. Tajuk dan juga keterangan berkaitan dengan mata pelajaran. Perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar menepati seperti yang dikehendaki oleh kumpulan atau individu. Pemilihan bahan bacaan hendaklah mempunyai hubungan kesesuian dengan perkara-perkara seperti berikut :

a) objektif dan matlamat pengajaran bahasa
b) Pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran
c) Keadaan pelajar
d) Suasana pembelajaran
e) Minat pelajar

Bahan bacaan yang dipilih hendaklah sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran. Oleh itu, guru hendaklah menentukan objektif pengajaran terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu bahan. Dengan objektif pengajaran yang tertentu, guru boleh memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai dan dapat membantu kearah pencapaian objektif tersebut. Bahan yang dipilih juga hendaklah sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan juga bersesuaian dengan kebudayaan, adat resam, kepercayaan dan situasi tempatan.

Guru juga sepatutnya mengambil kira keadaan pelajarnya yang datang daripada pelbagai latar belakang pengalaman sosial, pendidikan, ekonomi, taraf pencapaian dan sebagainya ketika menyediakan bahan. Bahan-bahan yang sesuai dengan segolongan pelajar, mungkin tidak sesuai dengan segolongan pelajar yang lain. Faktor lain adalah suasana pembelajaran, dimana bahan yang sesuai dengan suasana pembelajaran akan meninggalkan kesan yang baik. Elemen penting dalam suasana pembelajaran ialah pelajar, isi pelajaran, bahan dan guru. Dalam proses pembelajaran pula, rangsangan yang mengarah pada pemikiran dan seterusnya mewujudkan tingkah laku tertentu merupakan tiga konsep yang penting.

2. Mencabar
Terdapat tiga konsep penting yang perlu wujud dalam proses pembelajaran iaitu rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Oleh yang demikian, bahan-bahan yang dipilih dapat memberikan rangsangan untuk pelajar berfikir dan mendorong mereka untuk terus belajar.

            Satu strategi pemeringkatan bahan bacaan yang dapat mencabar pemikiran pelajar ialah bahan-bahan yang dipilih itu mesti terdiri daripada bahan-bahan yang mengandungi ciri-ciri berikut :
a) bahan yang konkrit kepada bahan yang abstrak.
b) Bahan yang mudah kepada yang kompleks.
c) Bahan yang mengandungi fakta terasing kepada bahan yang mempunyai hubungan yang bersepadu.
d) Bahan yang khusus kepada bahan yang umum (induktif)
e) Bahan yang umum kepada yang khusus (deduktif)
f) Bahan yang umum kepada teori.
g) Bahan masakini kepada masa akan datang.
3. Menepati

Ketepatan bahan bacaan dimaksudkan sebagai isi kandungan bahan bacaan yang menepati kandungan kurikulum pengajaran. Bahan bacaan yang dipilih mestilah menunjukkan perkaitan antara aspek kandungan bahasa, proses pembelajaran dan pengajaran. Ketepatan sesuatu bahan dengan kurikulum pengajaran bahasa adalah berdasarkan ciri-ciri yang berikut:

a) Isi kandungan sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelajar.
b) Susunan bahan
c) Mengandungi maklumat atau fakta yang yang tepat.
d) Maklumat yang kemaskini
e) Perbendaharaan kata yang sesuai
f) Bahan pengajaran yang diperakui.

4. Menarik

a) Reka letak: peta, lukisan, carta, jadual, graf, rajah, gambar atau kartun mestilah disusun berhampiran dengan sesuatu maklumat yang berkaitan. Ini akan memydahkan pelajar membuat rujukan atau memahami sesuatu konsep.
b) Saiz huruf cetak atau saiz huruf haruslah sesuai dengan peringkat umur pelajar.
c) Ilustrasi dan bahan grafik bukan sahaja menghiasi bahan pengajaran, tetapi berfungsi sebagai manifestasi visual sesuatu maklumat yang akan dapat menambah atau mengukuhkan pembacaan pemahaman.
d) Kualiti kulit dan cara buku dijilid
e) Bahan pengajaran mengandungi arahan yang jelas.

5. Jimat dan mudah
Sekiranya untuk menghasilkan bahan bantu mengajar tersebut dibeli, tidak semestinya mahal. Sebaliknya bahan tersebut boleh dihasilkan dengan kreativiti guru contohnya dengan menggunakan bahan terbuang.

6. Praktikal
Bahan yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharusnya praktikal sama ada kepada guru atau pelajar. Bahan bacaan seharusnya sederhana dan mudah digunakan serta menggunakan bentuk bahasa yang yang berdasarkan situasi sebenar. Ini dapat membantu pelajar menggunakan bahasa dalam komunikasi. Selain itu, bahan tersebut seharusnya tahan lasak jika digunakan berulang-ulang kali dan sekiranya digunakan untuk lebih dari satu mata pelajaran dan juga sesuai pada masa dan mata pelajaran lain.

JENIS-JENIS BAHAN BACAAN

1. Bahan bacaan mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang. Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar. Membaca mekanis merupakan satu keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksi suara yang tepat dan bermakna.
Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah keterampilan serta minat. Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakkan alat-alat pertuturan.

2. Bahan bacaan mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.

3. Bahan bacaan intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai dua cara salah satunya ialah membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.

Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam. Ini kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia. Bacaan yang kedua ialah bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya, sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca. Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya

4. Bahan Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:

a. Membaca tinjauan (survey reading)

Membaca tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat-lihat atau meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan

b. Membaca sekilas (skimming)

Membaca sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan.


c. Membaca dangkal (superticial reading)

Skimming adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta. Satu daripada tujuan membaca sekilas adalah untuk mendapatkan kesan umum daripada sesebuah teks yang akan ditelaah. Pembaca mungkin akan melakukannya dengan jalan meneliti halaman judul, kata pengantar, daftar isi, gambar dan diagram, indeks dan sebagainya. Daripada tindakan begini, pembaca akan mendapat satu pandangan atau gambaran yang lebih baik dengan mempelajari sifat, hakikat dan jangkauan buku tersebut, susunan dan organisasinya.
Satu lagi tujuan membaca sekilas adalah untuk menemukan hal-hal tertentu. Lazim juga digunakan untuk menemukan bahan-bahan daripada pusat sumber atau perpustakaan. Membaca sekilas merupakan satu keterampilan yang sangat berfaedah sekiranya tidak disalahgunakan. Sekiranya kita dapat menggunakan dengan bijaksana, iaitu menggunakannya secara tepat dan cerdas, kita akan kagum betapa banyaknya maklumat dan fakta yang boleh peroleh dalam satu jangka masa yang singkat. Membaca dangkal yang disebutkan juga sebagai superficial reading adalah bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan bacaan. Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti–aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memahami dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca. Membina dan mengukuhkan minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting.

5. Bahan Bacaan Rekreasi
Membaca rekreasi adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca yang tidak melibatkan perahan otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah untuk tujuan bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan-bahan bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang dapat merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan sastera dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.

6. Bahan Bacaan Kritis
Bacaan kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara bijaksana, penuh ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang terdapat dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan keupayaan memahami yang tinggi. Proses bermula dengan penggalian yang mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan kebenaran tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan alasan-alasan mengapa penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan itu.

No comments:

Post a Comment