Wednesday, 30 April 2014

DEFINISI MEMBACA


Klein dalam Farida Rahim (2005) menyatakan  bahawa definisi membaca ialah suatu proses yang  melibatkan informasi dari teks dan pengetahuan yang dimiliki oleh pembaca dalam membentuk sesuatu makna. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat (2008) pula, frasa membaca membawa maksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Harris dan Sipay (1980) menyifatkan  proses membaca sebagai satu proses untuk memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis. Hal ini kerana proses membaca terdiri daripada gabungan beberapa proses yang kompleks antaranya ialah proses sensori, proses pengamatan, proses bahasa, dan proses kognitif. Setiap proses tersebut akan memainkan peranan yang penting dalam proses membaca secara keseluruhannya.
Selain itu, Pumfrey (1977) berpendapat bahawa membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang apa yang dibaca, tetapi membaca adalah lebih jauh daripada itu. Membaca adalah satu proses pemikiran yang membina. Maksud beliau, dengan membaca, seseorang itu harus dapat membina kebolehan menilai, mengulas dan mengkritik apa yang dibaca dengan tepat, memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan cita-cita serta fikiran yang terbuka dan positif.
            Berbeza pula pandangan daripada psikolinguistik kognitif yang menolak definisi membaca menurut fahaman teori pembelajaran lama yang mengatakan bahawa membaca adalah satu kegiatan mengenal kata-kata dengan cara membunyikannya di dalam hati dan kemudian menarik erti daripada kata-kata itu. Definisi ini seolah-olah mementingkan pengenalan kata yang tepat satu persatu dengan cara menyembunyikannya lebih dahulu sebelum kita dapat menarik erti sesuatu kalimat. Definisi ini mengetepikan peranan yang dimainkan oleh pembaca. Pembaca merupakan satu organisma yang pasif yang hanya menunggu kemasukan erti dari luar. Ini merupakan satu proses satu hala yang sangat bercanggah dengan keadaan sebenarnya. Proses satu hala ini ditentang oleh psikolinguistik kognitif kerana tidak mengambil kira peranan yang dimainkan oleh pembaca.
Bagi memahami konsep membaca dengan lebih jelas, kita harus meninjau dua perspektif terdahulu mengenai konsep membaca ini. Pertama ialah membaca sebagai proses membentuk makna dan yang kedua ialah membaca sebagai proses memilih dan mengambil tindakan.  

a) Membaca Sebagai Proses Membentuk Makna
Menurut Anderson dan Pearson (1984), membaca merupakan satu interaksi antara pembaca dengan bahan-bahan bacaan yang mereka baca. Interaksi ini merupakan sejenis proses pembentukan dan pemberian makna antara bahan-bahan yang dibaca dengan pengalaman latar pembaca-pembaca tersebut. Dalam konteks ini, aktiviti membaca dan proses pembentukan makna adalah saling bergantungan antara satu sama yang lain. Hal ini kerana proses tersebut tidak dikenali sebagai proses membaca jika kita tidak memahami makna pembacaan dahulu.
            Pemahaman makna terhadap kandungan pembacaan dalam proses membaca pula dapat dihasilkan daripada pengetahuan latar yang ada pada seseorang pembaca. Pengetahuan latar merujuk kepada maklumat yang terkandung dalam minda seseorang. Pengetahuan latar ini pula dapat digerakkan oleh perkataan, ayat, dan paragraf penulis dalam bahan yang dibacanya. Kita dapat memahami sesuatu dengan lebih jelas jika kita mempunyai konsep terhadap sesuatu objek tersebut. Sebagai contohnya, kita dapat menggambarkan sesebuah kapal terbang sebagai salah satu kenderaan yang dapat menampung beratus-ratus penumpang dari satu destinasi ke destinasi yang lain tanpa sebarang masalah. Namun begitu, konsep kenderaan ini menjadi susah apabila menjelaskan kepada segolongan pelajar yang tidak pernah melihat kapal terbang, Hal ini kerana mereka tidak dapat menggambarkan benda tersebut tanpa sebarang pengetahuan latar.

b) Membaca Sebagai Proses Memilih dan Mengambil Tindakan
Perspektif yang kedua perlu kita kaji dalam proses membaca ialah membaca sebagai proses memilih dan mengambil tindakan. Menurut Anderson, Hiebert, Scott dan Wilkinson (1985), proses membaca dapat merujuk kepada satu proses memilih dan mengambil tindakan apabila penyesuaian seseorang pembaca terhadap proses membaca dengan tujuan dan jenis teks yang dibacanya. Proses ini juga dapat dikenali sebagai proses strategi. Pembaca akan mengawal pemikirannya apabila membaca dalam mengatur strategi. Hal ini kerana pengawalan fikiran ini bukan sahaja akan menambahkan maklumat daripada bahan bacaan malah juga dapat menambah lagi pengetahuan latar dalam pemikiran pembaca.
            Setiap proses membaca yang dijalankan mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Dengan itu, pembaca yang mempunyai strategi akan menyesuaikan dirinya dengan apa yang tengah dibaca. Sebagai contohnya, membaca surat khabar adalah berbeza dengan membaca sebuah novel. Pembacaan surat khabar adalah bertujuan untuk mengetahui segala perkembangan yang berlaku di persekitaran kita manakala pembacaan novel adalah bertujuan untuk menghiburkan hati dan melapangkan fikiran. Kedua-dua jenis pembacaan tersebut memerlukan strategi yang berbeza ketika menjalankan proses membaca.
Sebahagian proses penyesuaian adalah untuk memahami struktur teks. Terdapat dua jenis struktur teks iaitu teks naratif dan teks ekspositori. Teks naratif merujuk kepada teks yang mengandungi cerita manakala teks ekspositori pula merujuk kepada sejenis maklumat atau arahan yang terdapat dalam buku teks. Penggunaan strategi yang berbeza akan digunakan bagi meneliti teks yang dibaca apabila pembaca sedar akan struktur teks bahan bacaan yang berbeza. Proses ini dikenali sebagai proses metakognitif.

No comments:

Post a Comment