Wednesday, 30 April 2014

PENTAKSIRAN MEMBACA



Penilaian kemahiran membaca penting kepada para guru untuk mengetahui tahap kemajuan pelajar. Penilaian ini boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk penilaian dan jenis pengujian. Kemahiran membaca merupakan keupayaan para pelajar untuk membaca ayat dengan lancar serta sebutan intonasi dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberikan kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.

Mentaksir dan Manilai

Mentaksir dan menilai ialah dua istilah penilaian yang sering digunakan dalam bidang pengukuran, pengujian dan penilaian. Matlamat kedua-dua istilah itu mungkin sama, iaitu untuk menguji pencapaian murid pada satu-satu tahap pembelajaran tetapi pelaksanaan kedua-duanya berbeza. Pentaksiran perlu selari dengan objektif pembelajaran pada satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran. Dengan perkataan lain, pentaksiran sentiasa disepadukan dengan kaedah mengajar dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran, dan berlaku di sepanjang pengajaran dan pembelajaran tersebut. Oleh itu, guru perlu mahir pelbagai jenis alat pentaksiran dan berketerampilan menggunakannya pada masa yang paling efektif.

Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang pelajar bacaan setelah mengalami proses pengajaran dan pembelajaran. Kesahan bukti empirikal yang digunakan bagi proses penaksiran sangat bergantung pada sejauh mana guru berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penaksiran Pengukuran pula merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran membaca, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu kemahiran membaca yang diajarkan oleh guru pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian yang boleh digunakn untuk mentafsir matlamat dan objektif pembelajaran bacaan.

PENTAKSIRAN FORMAL                                                                 

  • Pentaksiran formal biasanya dilakukan secara bertulis seperti ujian, kuiz dan esei. Hasilnya murid akan diberikan markah dan gred. Pengurusan pentaksiran jenis ini lebih sistematik. 
  • Matlamatnya adalah untuk menilai kemajuan murid dalam satu-satu jangka masa pengajaran. 
  • Contohnya, Cikgu A bercadang menilai perkembangan muridnya dalam menjawab soalan pemikiran aras tinggi setelah 6 minggu pengajaran. Untuk tujuan tersebut, beliau memilih sebuah teks komsas yang dimiliki muridnya dan mengarahkan murinya membaca teks tersebut dari muka surat 1 hingga muka surat 50. Kemudian, murid tersebut dikehendaki menjawab 5 soalan aras aplikasi hingga aras menilai mengikut taksonomi Bloom dalam masa 1 jam. Keputusan pentaksiran ini penting kerana guru, ibu bapa dan pentadbir ingin mendapat maklumat tentang perkembangan murid dalam pembelajaran membaca. 
  • Pentaksiran jenis ini digolongkan dalam Ujian Rujukan Norma.


PENTAKSIRAN TAK FORMAL

  • Setiap pentaksiran perlu direkodkan. Rekod ini penting untuk memantau perkembangan prestasi murid. Terdapat pelbagai cara yang digunakan oleh guru untuk membuat rekod pentaksiran ini. Semua kaedah merekod tersebut boleh digunakan asalkan perkembangan murid itu mudah ditafsir dan dibuat tindakan susulan, jika perlu.
  • PBS memperkenalkan kaedah merekod yang lebih sistematik. Dalam rekod prestasi PBS guru dikehendaki mencatat perkembangan murid mengikut band, deskriptor dan evidens. Band dan deskriptor sudah disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), seperti yang tercatat dalam Dokumen Standard Prestasi setiap tingkatan.
  • Dalam proses merekod guru hanya perlu mencatatkan jenis evidens yang digunakan untuk mentaksir prestasi murid kerana evidens mungkin lebih daripada satu jenis. Di samping jenis evidens tersebut, guru juga dikehendaki mencatatkan kaedah penyimpanan evidens yang sistematik sepertiu direkodkan dalam kad kemajuan, disimpan oleh guru atau dipulangkan kepada murid. Hal ini penting untuk rujukan dan semakan guru serta orang lain apabila diperlukan.


Antara ciri-ciri penilaian kemahiran membaca ialah:

Ø  Penilaian menjelaskan kemajuan pembelajaran seseorang murid.
Ø  Penilaian adalah proses yang berterusan. Oleh itu, bukti kemajuan murid secara berterusan perlu ada.
Ø  Penilaian menghendaki sampel kerja pelajar yang mencukupi, bukan setakat prestasi dan pengetahuan di peringkat pembelajaran dan pasca pembelajaran.
Ø  Teknik penilaian seharusnya memberi peluang kepada murid merasai dirinya terlibat dalam sesuatu perubahan tingkah laku yang diharapkan tercapai, yang akan menunjukkan kemajuannya.
Ø  Penilaian dengan sendirinya merupakan situasi pembelajaran. Pelajar harus melihat dirinya mempelajari sesuatu yang baru dan sentiasa maju ke hadapan.
Ø  Penilaian adalah terbuka dan tiada batasan. Pelajar harus merasai yang dia sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak menganggap sesuatu yang dilakukannya itu berakhir. 

Oleh itu, penilaian kemahiran membaca haruslah berasaskan pemahaman terhadap penilaian seperti di atas. Penilaian juga harus dianggap sebahagian daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 

Ahli-ahli psikolinguistik mengkategorikan matlamat membaca dalam tiga kategori yang utama untuk tujuan penilaian:
a)      Matlamat persepsi
-Dalam penilaian, pelajar harus prihatin terhadap kebolehubahan dan boleh menyesuaikan kadar membaca dan peka terhadap ketepatan sesuatu konsep perkataan.

       b)  Matlamat kognitif
- Untuk mencapai matlamat ini dalam penilaian, keprihatinan harus ditumpukan terhadap   jenis aras pemikiran yang digunakan semasa membaca.

      c)   Matlamat afektif
- Penilaian harus prihatin terhadap menimbulkan perasaan dan sikap murid terhadap  bahasa yang dibaca.

Proses penilaian atau pentaksiran membaca dibahagikan kepada tiga iaitu:

i)                    Mengenal pasti idea keseluruhan.
a)      Mesej utama yang disampaikan penulis
b)      Mengesan pandangan, pendapat dan emosi penulis.
c)      Kenal pasti prinsip penulisan
-          Pengelasan mengikut kronologi
-          Pengelasan mengikut kierarki
-          Pengelasan mengikut ciri-ciri

ii)                  Mengenal idea utama dan sokongan
a)      Idea utama
-          Satu atau lebih idea utama
-          Satu idea utama dalam satu perenggan
b)      Sokongan
-          Huraian atau keterangan yang menyokong idea utama

iii)                Membuat ramalan dan kesimpulan
a)      Dibuat sesudah pembaca mengesan isi tersirat
b)      Mesti baca dan teliti seluruh teks
c)      Tidak semestinya disokong dengan contoh dan keterangan
d)     Lahir daripada resolusi dan kefahaman pembaca

Secara kesimpulannya, penilaian atau pentaksiran kemahiran membaca dianggap sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan amat penting bag tujuan mengesan tahap kemajuan atau pencapaian kemahiran membaca bagi setiap pelajar.







 Manfaat Pentaksiran kepada Guru

Amalan pentaksiran yang berlaku serentak dengan pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat yang berguna kepada guru bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pelajaran. Ia dilakukan dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti soal jawab, latihan, soalan lisan, soalan bertulis, interaksi, temu bual, reaksi pelajar, penyelesaian masalah, pembentukan soalan pelajar dan sebagainya.
            Semasa sesi pengajaran di dalam bilik darjah berlangsung, guru mentaksir adakah pengajarannya telah difahami dan dikuasai oleh pelajar.  Adakah objektif dan sasaran pembelajaran telah tercapai? Jika tidak mungkin objektif dan skop pengajaran itu terlalu luas atau melebihi tahap penguasaan pelajar. Maka, guru berpeluang untuk mengkaji semula perancangan pengajaran membaca agar lebih berkesan kepada pelajar.
Perancangan itu termasuklah memilih kaedah pengajaran yang sesuai dan berkesan, menetapkan objektif pengajaran yang lebih khusus dan penggunaan bahan bantu mengajar yang boleh memudahkan penguasaan pelajar di samping dapat menarik minat. Aktiviti pentaksiran membaca di dalam bilik darjah adalah meliputi proses mengukur, menilai dan membuat pertimbangan tentang kebolehan, kemahiran dan kefahaman pelajar berdasarkan objektif dan matlamat pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru. Dalam masa yang sama guru berpeluang untuk memperbaiki aktiviti pengajarannya di dalam bilik darjah. Aktiviti yang sama berulang dalam pelbagai pendekatan membentuk kitaran pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang berterusan dalam memastikan objektif ataupun sasaran pembelajaran tercapai.





Rujukan
Tamam Timbang, Zamri Mahamod dan Afendi Hamat (2011). Faktor dan kesan masalah membaca dalam kalangan muris sekolah rendah kerajaan di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. 1(5), 89-107.

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA



Bagi memastikan pelajar menguasai kemahiran membaca, guru perlu menggunakan pendekatan mengajar yang sesuai. Pemilihan pendekatan ini pula perlu mengambil kira aspek kebolehan membaca pelajar, teks yang digunakan serta pengalaman pelajar.
Pendekatan Pengajaran Membaca Asas
Pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar membaca beberapa kemahiran membaca yang biasa pada situasi membaca yang pelbagai seperti bagi tujuan rekreasi, mencari maklumat dan bimbingan.
Pendekatan asas membaca juga menekankan kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang sudah diajar guru sebelumnya.
Penambahan kepada perkara yang sudah diajarkan dalam pengajaran membaca dapat membantu pelajar menguasai kemahiran membaca.

Kaedah Pengajaran Membaca Asas
Pendekatan ini penting dikuasai oleh pelajar terutama pada peringkat awal penguasaan dalam kemahiran membaca. Guru perlu memikirkan kebolehan pelajar serta pengalaman membaca pelajar terdahulu. Prinsip pengajarannya dinyatakan seperti berikut.
1.      Pengajaran perkembangan kemahiran
Guru perlu menulis perkataan di papan hitam. Di samping itu, guru membulatkan perkataan yang mempunyai bunyi yang sama.
2.      Pelajaran membaca secara terarah
Terbahagi kepada lima cara iaitu:
·         Motivasi.
Berdasarkan latar  pengalaman, kuiz, menyelesaikan masalah dan sebagainya.
·         Persediaan latar belakang.
Apabila terdapat perkataan yang sukar atau asing, tuliskan di papan hitam dan minta pelajar meletakkan dalam petikan ataupun menggunakan dalam perbualan.
·         Menetapkan tujuan
Guru dan pelajar sama-sama menguji pilihan dan menentukan tujuan yang diberikan.
·         Membaca semula secara senyap ataupun lisan secara terarah.
Pelajar diarahkan membaca teks pilihan dan menjawab soalan semasa membaca senyap. Guru boleh memantau pelajar dengan pergi kepada pelajar secara individu dan minta pelajar membaca secara kuat serta bertanya apa yang didapati atau difahami dan masalah yang timbul.
·         Tindak balas dan perluasan
Pelajaran membaca diikuti dengan aktiviti yang memberi pelajar pilihan mempraktikkan kemahiran yang diperoleh dengan membuat buku kerja, pengajaran kendiri atau helaian aktiviti boleh digunakan.

Pendekatan Teknologikal
Unsur yang utama dalam pendekatan ini adalah keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan dapat dilakukan semula pada masa yang lain. Pendekatan ini menekankan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera dan dibuktikan kebenarannya. Pendekatan ini juga dilabelkan sebagai:
Sistemmembaca berdasarkan objektif
Program berdasarkan kriteria
Membaca berdasarkan kecekapan
Sistem pengurusan kemahiran
Membaca berdasarkan perspektif diagnostic

v  Bahan dan Kandungan yang sesuai
Pendekatan dalam empat komponen
§  Objektif tingkah laku
Mengenal pasti perkataan, objektif bagi pemahaman dan kemahiran belajar
§  Ujian kriteria bagi setiap objektif
Menentukan status atau kedudukan individu dengan merujuk domain tingkah laku seperti kemahiran membaca atau kombinasi beberapa kemahiran dalam membaca.
§  Strategi pengajaran
Wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau aktiviti yang pelajar perlu menunjukkan tindak balas. Di samping itu strategi melalui contoh dan penerangan membantu mereka mencapai objektif yang sudah ditetapkan.
Guru boleh melaksanakan pelajaran melalui pita rakaman ataupun menggunakan buku kecil yang tidak memerlukan guru hadir bersama murid.

Pendekatan Membina
Pendekatan membina berdasarkan prinsip sintesis dengan menyusun bahagian-bahagian yang kecil menjadi unit yang besar. Sebagai contoh mengajar ayat dalam bahasa Melayu.
Adik ada baju merah
·         Perkenalkan huruf     -  a, b,  d, e, h, j, k, m, u
·          Perkenalkan  suku kata – ba, a, dik, ju, rah, me, da
·         Perkenalkan perkataan – adik, ada, baju, merah,
·         Perkenalkan rangkai kata -  baju merah, adik ada.
·         Perkenalkan ayat -  adik ada baju merah.

Pendekatan Cerakitan
Berbeza dengan prinsip sintesis iaitu berdasarkan analisis atau cerakinan.
Dari unit yang besar ke bahagian-bahagian yang kecil
Seperti contoh di bawah:
·         Perkenalkan ayat -  adik ada baju merah.
·          Perkenalkan rangkai kata -  baju merah, adik ada.
·          Perkenalkan perkataan – baju, adik, merah, ada
·          Perkenalkan  suku kata – ba, a, dik, ju, rah, me, da
·           Perkenalkan huruf   -  a, b,  d, e, h, j, k, m, u

Membaca Bebas
·         Pelajar membaca keseluruhan bahan yang mereka pilih. Pelajar berpeluang membaca bahan yang mereka pilih daripada bahan yang disediakan oleh guru manakala aktiviti bacaan yang dijalankan di dalam bilik darjah dikawal oleh guru seberapa minimum yang mungkin.
·          Oleh sebab membaca bebas memerlukan sokongan guru yang paling minimum, kaedah ini digunakan bagi pelajar yang mempunyai kebolehan membaca yang baik serta tidak memerlukan bantuan guru serta rakan yang lain.
·          Apa yang perlu guru tegas dalam pendekatan ini ialah arahan awal supaya pelajar membuat beberapa persediaan sebelum membaca seperti menyediakan soalan.





Berkongsi Membaca
·         Holdaway (1979) telah membentuk satu prosedur yang dikenal pasti sebagai pengalaman berkongsi buku bagi memperkenalkan kanak-kanak yang baru belajar membaca dengan menggunakan cerita-cerita , nyanyian dan puisi.
·         Berkongsi membaca akan memberi sokongan yang kuat kepada pelajar untuk menguasai kemahiran membaca bersama-sama dengan rakan mereka. Kaedah ini memberi peluang kepada pelajar yang lebih mahir menjadi model kepada pelajar yang kurang mahir.